Style

Pelajar lelaki mati lemas di Pulau Beras Basah

Seorang pelajar lelaki dari Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah di Melaka ditemui mati lemas di Pulau Beras Basah, Langkawi dekat sini hari ini.

Mangsa, Muhamad Aiman Nazmi Ahmad Najib, 16, ditemui terapung selepas disedari hilang oleh gurunya kira-kira pukul 2 petang.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim (DM) 1, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata, mangsa tiba di pulau tersebut bersama rombongan sekolahnya kira-kira pukul 12.30 tengah hari untuk aktiviti island hopping.

“Seorang guru pengiring kemudian menyedari mangsa hilang pada pukul 2 petang ketika hendak beredar dari pulau tersebut.

“Usaha pencarian mangsa dilakukan oleh rakan dan guru-guru sebelum menemui remaja terbabit terapung dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pemandu bot memberikan bantuan pernafasan tetapi mangsa tidak memberikan reaksi positif.

“Bot peronda Petir 81 bergegas ke tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke jeti Maritim Malaysia (APMM) pada pukul 3.20 petang tadi sebelum dibawa ke Hospital Langkawi,” ujarnya.

Tags
Show More

Related Articles

Close
Close