Hijaber

Real jumpa Bayern, Liverpool berdepan Roma

Liga Juara-Juara

NYON, Switzerland 13 April – Juara 12 kali, Real Madrid akan berdepan Bayern Munich dalam separuh akhir Liga Juara-Juara, manakala gergasi bola sepak England, Liverpool diundi menentang bekas kelab Mohamed Salah, Roma dalam majlis undian yang diadakan di sini sebentar tadi.

Real yang mengetepikan gergasi Itali, Juventus dalam suku akhir kontroversi akan bertandang ke Allianz Arena dalam aksi pertama.

Liverpool yang memburu kejuaraan Eropah buat kali keenam pula akan beraksi di Anfield dalam perlawanan pertama.

Real mara ke separuh akhir selepas mengalahkan Bayern secara agregat 4-3, manakala Roma mencatat keputusan sensasi dengan bangkit menyingkirkan gergasi Sepanyol, Barcelona menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas menang 3-0 di Stadio Olympico, Rabu lalu.

Juara Bundesliga, Bayern yang mengumumkan pelantikan Niko Kovac sebagai jurulatih baharu beberapa minit sebelum undian menyingkirkan wakil Sepanyol, Sevilla di suku akhir.

Liverpool melangkah ke separuh akhir dengan membenam pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City secara agregat 5-1 selepas menang 3-0 dan 2-1.

Berdepan Roma akan mengulangi final Piala Eropah 1984 yang dimenangi Liverpool menerusi penentuan sepakan penalti.

Sementara itu dalam saingan Liga Europa, Arsenal berdepan ujian getir dalam misi mencari tiket ke Liga Juara-Juara musim depan apabila diundi menentang Atletico Madrid.

Satu lagi separuh akhir akan menemukan kelab Perancis, Olympique Marseille dan wakil Austria, Salzburg.

Arsenal perlu menjuarai Liga Europa jika mahu beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan selepas peluang mereka untuk layak menerusi liga domestik hampir tertutup dengan menduduki tangga keenam ketika ini. – AGENSI

 

Tags
Show More

Related Articles

Close
Close